Leftenan Adnan
|
Leftenan Adnan |
Adnan bin Saidi atau lebih dikenali sebagai Lt. Adnan Saidi
dilahirkan di Kampung Sungei Ramal, Kajang, Selangor pada tahun 1915. Adnan
Saidi merupakan anak sulung dalam keluarganya. Adik-adiknya, Ahmad bin Saidi
dan Amarullah bin Saidi juga merupakan anggota tentera. Ahmad Saidi terbunuh
dalam pertempuran selepas dia memasuki angkatan laut pada tahun 1939. Kapalnya,
HMS Pelanduk, ditenggelamkan oleh Jepun dalam pelayaran ke Australia. Adiknya
yang termuda Amarullah Saidi terselamat dari peperangan dan sekarang bersara
dan menetap di Kajang, Selangor.
Adnan Saidi menerima pendidikan di Pekan Sungei Ramal dalam
aliran Inggeris. Dia merupakan pelajar yang rajin dan berjaya dalam
pengajiannya. Selepas menamatkan pengajiannya, Adnan terpilih sebagai guru
pelatih dan mengajar (alma mater) selama lebih satu tahun. Adnan Saidi
kemudiannya mengambil keputusan untuk memasuki tentera.
Pada tahun 1933, ketika berusia 18 tahun, Adnan Saidi
memasuki Rejimen Askar Melayu (Malay Regiment). Setahun kemudian, dia terpilih
sebagai rekrut terbaik. Pada tahun 1936, Adnan dilantik ke pangkat Sarjan –
kenaikan pangkat yang pantas bagi seorang tentera muda. Pada tahun 1937, Adnan
Saidi terpilih untuk mewakili platunnya dalam perbarisan memberi hormat di
London bagi menyambut pertabalan Raja George VI. Tidak lama selepas itu, Adnan
Saidi sekali lagi dinaikkan pangkat kepada Kompeni-Sarjan-Major dan dihantar ke
Singapura untuk kursus latihan pegawai. Setelah menamatkan kursus sebagai
Leftenan Muda, Adnan Saidi dilantik sebagai ketua Platun ke-7, Kompeni 'C' .
Sekembalinya Lt. Adnan Saidi daripada London, dia berkahwin
dengan seorang guru dikampungnya, Puan Sophia Pakih Muda dan mendapat tiga
orang anak: dua lelaki, Mokhtar dan Zainudin (yang tinggal di Seremban dan
Johor), dan seorang anak perempuan. Termuda di antara tiga beradik, bayi
perempuannya meninggal sejurus selepas kejatuhan Singapura.
Pada akhir 1941, Lt. Adnan Saidi ditempatkan di Singapura dan
membawa keluarganya bersama-sama. Mereka tinggal di rumah besar di Pasir
Panjang, dalam kawasan yang dikhaskan untuk keluarga Rejimen Askar Melayu.
Apabila berita peperangan Perang Dunia II semakin hampir, dan
pihak Jepun bersedia untuk menjajah Singapura, Lt. Adnan menghantar keluarganya
kembali ke kampung mereka di Kajang Ini merupakan masa yang getir bagi Lt.
Adnan kerana isterinya, Sophia, sedang mengandungkan anak mereka yang ketiga.
Ini merupakan kali terakhir mereka bersama.
Pertempuran di Bukit
Candu
Sejarah pendaratan Jepun di Tanah Melayu dan tindakan pantas
tentera Jepun memaksa Tentera British berundur ke Singapura.
Pertempuran-pertempuran akhir mempertahankan Singapura termasuk pertempuran di
Pasir Panjang yang lebih dikenali sebagai Pertempuran Bukit Candu. Bukit Candu
dinamakan sempena kilang memproses candu yang dahulunya terletak di kaki bukit
tersebut.
Pertempuran sengit telah berlarutan beberapa hari sebelumnya.
Tentera Jepun yang biasa bertempur dari ketumbukan Tentera ke 25 yang terkenal
berjaya mengatasi kedudukan pertahanan strategik di Singapura. Bukit Candu menandakan
sempadan pertahanan terakhir. Ia merupakan kedudukan pertahanan penting di
Singapura berasaskan dua alasan strategik; ia boleh melihat bahagian utara
Singapura dan selain itu, sekiranya pihak Jepun mengawal permatang, ia
memberikan mereka laluan langsung ke kawasan Alexandra. Kawasan Alexandra
merupakan tapak depoh bekalan peluru dan bekalan utama, hospital tentera dan
kemudahan utama Tentera British. Dengan itu, permatang tersebut perlu
dipertahankan bersungguh-sungguh.
Pertahanan permatang itu telah ditugaskan kepada Kompeni 'C'
. Kompeni 'C' merupakan sebahagian satu pasukan kecil Batalion Pertama Rejimen
Askar Melayu (1 Melayu). Batalion 1 Melayu dan Batalion 2 Melayu,[1]
bersama-sama dengan batalion ke-2 "Loyal Regiment" Tentera British
dipusatkan menjadi Briged Infantri Pertama Malaya (1st Malaya Brigade)
Pada 13 Februari 1942, Division Chrysanthemum Tentera
Imperial Jepun yang handal di bawah pemerintahan Lt. Gen. Renya Mutaguchi
menumpukan perhatian mereka kepada persisiran selatan Singapura - Permatang
Pasir Panjang. Pada pagi tersebut, permatang tersebut dibedil bertalu-talu
dengan sokongan udara, mortar berat dan bedilan meriam. Kompeni 'C' dan Lt.
Adnan Saidi ketika itu[2] telah ditempatkan di Perkampungan Pasir Panjang telah
memberikan tentangan hebat. Akhirnya tentera Jepun terpaksa berundur disebabkan
tentangan sengit daripada Kompeni 'C'. Adnan dan orang-orangnya telah membina
benteng pertahanan Rejimen di kawasan tanah tinggi, yang dikenali sebagai Celah
(Gap). Walaupun mempunyai bilangan anggota yang lebih ramai, pasukan Jepun di
bawah Major Kimura gagal menembusi barisan pertahanan di Celah (Gap).
Pada tengah malam 14 Februari 1942, Kompeni 'C' menerima
perintah untuk bergerak ke tapak pertahanan baru - Pt. 226, Bukit Candu. Lebih
ramai askar tambahan ditempatkan ke pasukan di bawah pimpinan Adnan –
menjadikan jumlah keseluruhannya 42 kesemuanya. Selepas meninjau persekitaran
dengan cermat, Lt. Adnan Saidi memerintah orang-orangnya untuk memperkukuhkan
benteng pertahanan mereka dengan beg pasir. Kawasan bukit tersebut dikelilingi
dengan benteng beg pasir.
Pada awal petang 14 Februari, pihak Jepun melancarkan
serangan berhelah. Daripada Jalan Pepys Road mendaki Pt.226, Adnan Saidi yang
ketika itu berusia 27 tahun, memantau kontinjen "tentera Sikh"
daripada Tentera British India (British-Indian Army) mara. Penglihatannya yang
tajam dan kecerdasan fikirannya membolehkan Lt. Adnan perasan sesuatu tidak
kena apabila menyedari tentera berturban yang mara itu bergerak dalam kumpulan
berempat dan bukannya bertiga seperti Tentera British. Menyedari helah
tersebut, Lt. Adnan Saidi dan anak buahnya melepaskan tembakan dan berjaya
membunuh sekitar 20 orang musuh pada jarak dekat, dengan itu memaksa tentera
Jepun berundur.
Dua jam kemudian, tentera Jepun telah melancarkan serangan
besar-besaran dalam bilangan yang besar. Serangan tersebut menumpaskan Lt.
Adnan Saidi dan tenteranya. Dengan bilangan yang jauh lebih kecil dan
kekurangan peluru, Regimen Melayu bertempur dalam pertempuran sehingga ke mati.walaupun
leftenan adnan terkorban,namun lebih daripada 800 askar yang telah dibunuh oleh
leftenan adnan dan regimennya.
Kematian Pejuang
Pertempuran sengit berlanjutan di Bukit Candu. Semua jenis
senjata digunakan, termasuk bom tangan dan senjata automatik. Lt. Adnan sendiri
mengendalikan senjata mesingan jenis Lewis gun. Dalam kebanyakan kes, askar
bertempur dalam pertempuran berhadapan menggunakan bayonet. tetapi, mereka
kekal bertahan mengecewakan pihak musuh. Dalam pertempuran yang berikutnya
pegawai dan tentera mati. Adnan cedera parah tetapi enggan berundur dan
sebaliknya menyuruh orang-orangnya berjuang sehingga ke titisan darah terakhir.
Keberaniannyalah yang menaikkan semangat juang orang-orangnya untuk bertahan
bersunguh-sungguh.
Korporal Yaakob, yang mendapat Pingat Keberanian Medal of
Gallant, merupakan salah seorang daripada mereka yang terselamat dalam
pertempuran Bukit Candu. Dalam kacau-bilau pertempuran, beliau yang cedera
jatuh di atas mayat mereka yang terkorban. Beliau terselamat dengan
berpura-pura mati disamping mayat rakannya dan melihat kematian mengerikan
Adnan Saidi. Musuh yang menang berjaya menawan Lt. Adnan. Akibat perasaan
dendam kerana keberaniannya melawan Jepun, ketua platun itu diseret sebelum
diserkup dengan guni. Tentera Jepun kemudiannya telah menggantungkan kakinya
pada pokok ceri.[3], [4] Kerana meradang akibat kehilangan ramai rakan, tentera
Jepun kemudiannya telah menikamnya dengan bayonet berkali-kali. Dalam kejadian
lain disebut lehernya telah dikelar. Kejadian ini dilihat oleh Koperal Yaakob.
Selepas pertempuran, pihak Jepun melarang sesiapapun menurunkan mayatnya untuk
dikebumikan, dan tiada seorangpun yang berani. Malah menurut beberapa sumber,
tubuh Lt. Adnan Saidi yang dicacatkan itu dibakar menjadi abu.
Beberapa tahun lalu, Haji Burhan Muslim, yang tinggal
berhampiran Bukit Candu, teringat telah memanjat bukit dengan sepupunya
beberapa hari selepas pertempuran tersebut. Dalam salah satu rumah banglo yang
terdapat di bukit Lorong Pepys, dia melihat mayat askar Melayu yang dipancung
merata-rata. Dalam salah satu bilik, terdapat mayat seorang tentera Melayu yang
lehernya dikelar. Pakaian seragamnya basah dengan darah. Melihat kepada lencana
yang terdapat pada pakaian seragamnya, Haji Burhan percaya bahawa dia adalah
pegawai berpangkat. Dia percaya bahawa mayat tersebut mungkin mayat Lt. Adnan
Saidi, (mungkin membuktikan mayat Lt. Adnan Saidi tidak dibakar).
Keberanian Lt. Adnan Saidi bersama kontinjen 42 orang anggota
Askar Melayu yang telah bertempur mati-matian untuk mempertahankan permatang
Pasir Panjang merupakan satu episod yang kini kekal dalam lipatan sejarah.
Pertempuran sengit itu disebut khusus dalam perutusan Lt. General A. E.
Percival berkenaan Pemerintahan Operasi Malaya dari tarikh Disember 1941
sehingga 15 Februari 1942:
"Selepas dua
jam dibedil dengan meriam dan motar, tentera Jepun menyerang Regimen Melayu
yang mempertahankan Permatang Pasir Panjang. Regimen Melayu bertempur dengan
gagah beraninya tetapi mengalami kehilangan jiwa yang teruk, dan menjelang
petang musuh sampai ke Celah (Permatang Pasir Panjang)..."